GUA MUSANG: Lebih 1,500 penduduk di Felda Chiku 7 dan 8 di sini terkandas selepas jambatan yang menjadi penghubung utama dengan kawasan luar ditenggelami banjir awal pagi Ahad.

Ketua peneroka, Hussain Ismail berkata, setiap kali tibanya musim tengkujuh jambatan yang menjadi laluan utama itu akan ditenggelami banjir sekali gus menyebabkan penduduk terputus hubungan.

"Situasi ini amat memberikan kesan kepada kami di sini terutama yang mempunyai urusan di bandar Gua Musang.

"Ia termasuk jika berlaku kecemasan ini akan menyukarkan kami mendapatkan bantuan segera," katanya kepada pemberita.

Menurut beliau, berpandukan kepada keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat ketika ini air dijangka mengambil masa agak lama untuk surut.

Bagaimanapun beliau berharap cuaca akan kembali pulih seperti biasa dan air surut dengan cepat. - Sinar Harian